Wednesday, February 3, 2016

Jejak al Fateh: Palestine Pasti akan Bebas


Assalamualaikum wbt.

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari terakhir tinggal di rumah Medina, kawan Turki ku yang usia perkenalan kami juga ialah 5 hari. Sebelum berangkat keluar dari rumah Medina, kami bersalaman dan mengucapkan ribuan terima kasih. Moga Allah merahmati keluargamu, Medina.

Kami meneruskan perjalanan ke bandar, menyewa di rumah "homestay" milik syudent Malaysia di Turki. Terletak di tengah-tengah tempat pelancongan, di Yusufpasa.

Dalam perjalanan dari Tahtakale ke Yusufpasa, aku ditegur oleh seorang pemuda,

"From Malaysia.?"

Agak memeranjatkan ditegur dalam bahasa Inggeris, di luar bandar Istanbul.

Pada mulanya, aku ingatkan dia ialah Turkish.

"I lived in Malaysia for almost 6 years"

Lagi ku terkejut, patutla boleh berbahasa Inggeris.

Dan yang paling mengejutkan, dia dari Palestine.

Sekarang berada di Turki menyambung pengajian Master. 

Dia bercerita banyak mengenai UIA.
Nampak kerinduan dia kepada Malaysia dan UIA. 

Dia meninggalkan Palestine tahun 2009. 

Dan sampai sekarang, 2016 dia tidak pernah pulang ke Palestine.

Aku terperanjat, ini bermakna sudah masuk tahun ke -7 dia tidak pulang ke tanah air Palestine.

Dalam kepalaku, macam mana nak tanya dia kenapa dia tak balik.. Kenapa dia taknak balik ke. Banyak benda bermain dalam kepala ku at that time.

Ambil masa sekejap, then aku tanya dia..

Kenapa tak balik Palestine.? 

Nak tahu apa jawapan dia.?

(Sila sediakan tisu)

"Hmm.. kalau saya balik sekarang, saya pasti takkan dapat keluar dari Palestine. Saya tahu dan percaya mereka(Israel) takkan lepaskan saya, terutamanya bilamana dia tahu saya ada sesuatu(degree, masters). Israel takkan bagi orang lelaki muda seperti saya lepas begitu sahaja..."


Aku terdiam, terkejut dan sedih dalam masa sama..

"Mesti awak hairan kenapa saya tak balik kan. Saya nak balik. Saya rindukan tanah air saya. Pergi lah merantau ke mana sahaja pun, tanah air yang paling dirindui. Awak juga belajar di Korea, datang melawat Turki. Negara mana paling dirindui.?"

Amboi, dia pula buat aku sebak dalam bas ni. 


"Saya selalu hubungi keluarga saya di Palestin, menggunakan telefon. Mereka dalam keadaan yang baik. Saya akan balik, pasti. Suatu hari nanti, insyaallah."

Aku mengalihkan topik ke arah yang lebih santai pula, bertanyakan perihal Malaysia.

Dia sangat-sangat sukakan Malaysia, masyaallah.

"Dalam dunia ni, boleh dikatakan Malaysia yang memang 100% menerima Palestinian ditambah dengan governement yang tidak menentang kemasukan Palestinian ke Malaysia."

Aku bertanya, bagaimana dengan negara Islam yang lain.? 

"Terlalu susah. Kadang-kadang di Turki sendiri, tidak semua mengalukan kehadiran Palestin. Even di Jordan, malah Mesir. Rakyat Palestin sangat suka dan cintakan Malaysia.."

Allahu. 

Pengalaman dia 6 tahun di Malaysia, tiada satu pun yang dia ungkapkan keburukan Malaysia. Aku? Berada di Korea 5 tahun, terlalu banyak yang dikomplen dan dikririk.

Aku bertanya lagi part mana yang dia tidak suka mengenai Malaysia, mustahil lah semunaya indah belaka kan.. heheh

Nak tahu apa jawapan dia.? 


"Malaysia.. Makanan sedap, orangnya baik, boleh berbahasa Inggeris di mana-mana sahaja, pergi Kelantan, Kedah, Penang, Sarawak semua fasih berbahasa Inggeris.. Cumanya, satu sahaja.. 
Orang Malaysia ni "SLOW" sikit. Urusan akan mengambil masa, semua rileks dan slow.."

Then, aku senyum..

Thats Malaysia... 

Kami berpisah di Istanbul. 

Aku terlupa untuk mengatakan sesuatu yang sangat penting kepadanya..

Palestine will be free, dengan izin Allah.

Palestine akan dibebaskan tidak lama lagi..

Semoga kamu menjadi pemuda harapan tanah airmu, menjadi kebanggaan keluargamu, dengan segala ijazah yang kamu ada, kamu
pasti akan menang melawan kebatilan zionis.

May Allah bless you in everything.


Tahtakale-Yusufpasa
2 Februari 2016 

Tuesday, February 2, 2016

Jejak al Fateh: Assalamualaikum Eyyub & Fatih




Assalamualaikum wbt.

Bismillahirrahmanirrahim.

Semalam merupakan hari paling bersejarah dan pasti takkan dilupakan.

Selama 24 tahun aku hidup di muka bumi Allah, semalam merupakan hari terpenting dalam hidupku.

Sebelum berlepas ke Turki, aku meluangkan masa dengan adik-adik usrahku di airport, aku bercerita mengenai kisah hebat seorang sahabat Rasulullah yang tertua dan sahabat yang memperjuangkan Islam. Kisah sahabat Rasulullah yang mahu menjadi pembuka Konstantinopel. Sahabat Rasulullah yang ingin menjadi saksi kepada penaklukan Istanbul oleh sebaik-baik pemimpin. 

Semasa aku sampai di sana, ku lihat suatu kawasan yang begitu gah dari luar. 

Sesampai di dalam makam Abu Ayyub Al ansar, atau di Turki lebih dikenali sebagai Eyyub Sultan, aku rasa begitu bertuah dan hampir tidak percaya. 

Terlalu ramai orang beratur dan masing-masing tak mahu melepaskan peluang berada lebih dekat untuk melihat sendiri makam sahabat Rasulullah SAW.

Pada mulanya, aku berada di hujung dan paling belakang, sampai satu masa Alhamdulillah orang semakin berkurangan, aku bergerak ke depan dan berada paling depan makam Abu Ayyub.

Subhanallah, tiada apa yang mampu aku ucapkan.

Assalamuaaikum Eyyub Sultan. 

Aku pejamkan mata, dan teringat kembali semua cerita dan kisah yang aku baca, yang aku kongsikan dengan adik-adik usrahku.

Aku teringat setiap satu dan setiap perinci kisah Abu Ayyub al Ansari.

Bila ku buka mata, baru aku perasan aku terlalu lama berada di depan makam Abu Ayyub, tanpa disedari air mata rindu dan air mata keinsafan, air mata kekerdilan berada di hadapan seorang sahabat yang berjuang bersama-sama Rasulullah SAW. 

Ya allah, 
Terlalu bersyukur dengan nikmat ini.



Aku berada paling dekat selangkah kaki dengan makam sahabat Rasulullah, sungguh terasa kerdil dan hina. 

Aku tidak dapat bayangkan sekiranya Allah takdirkan aku untuk berpeluang menziarahi makam kekasih Allah. 



Pintu masuk Makam Ayyub



Itulah makam SAHABAT Rasulullah SAW
Abu Ayyub al Ansari







Seterusnya, kami meneruskan perjalanan ke Fatih. 

Fatih Camii.. (Masjid Fatih) 

Sultan Muhammad al Fateh dikebumikan di sini, menurut kata unni kerana Fatih suka berada di masjid ini, jadi dikebumikan di sini.

Suratan, bukan rezeki ku kali ini untuk melawat makam Fatih secara lebih dekat, makam Fatih sedang di baik pulih. Mampu melihat dari celahan tingkap sahaja.

Makam nya agak besar, menggambarkan susuk tubuh seorang pemimpin yang agak besar, makam yang sangat terjaga letak di dalam kaca, subhanallah..

Assalamualaikum Fatih.





Masjid Fatih









Assalamualaikum FATIH


Makam Isteri Sultan Muhammad Fatih

Unni bagitahu yang pelancong dari Malaysia tidak datang ke sini. (Makam Fatih/Eyyub)

Aku sangat terkejut kerana bagiku, di tempat ini lah spatutnya mereka ziarahi, subhanallah.

Makam sahabat Rasulullah, dan penakluk Istanbul.

Tetapi, sama seperti Saadia, dia juga tidak faham dan tidak rasa mahu ke kedua-dua makam tersebut sebab dia tidak baca sejarah sebelum ini.


Secara jujurnya, bagiku sebelum datang ke Istanbul, baca dan research sedikit mengenai tokoh-tokoh hebat..

Turki, sangat-sangat kaya dengan sejarah Islam.

Kerajaan Uthman Uthmaniyyah berakhir di Turki.

Kerajaan ISLAM berakhir di Turki. 3 Mac 1924

Maka tidak hairanlah, Turki dan yang paling utama, Istanbul dipenuhi dengan sejarah-sejarah gemilang Islam.


Bacalah, carilah mengenai sejarah Islam sebelum ke Turki.

Rasai kehebatan dan "kelemahan" pemimpin Islam dahulu.

Sedih, situasi sekarang Turki sangat menyedihkan.

Insyaallah di entri seterusnya.



Al fatihah untuk kedua-dua pemilik syurga Allah.

Fatih, Istanbul
1 Februari 2016

Saturday, January 30, 2016

Jejak al Fateh: Keluarga Baru di Istanbul





Assalamualaikum wbt.



Bismillahirrahmanirrahim.

“Awak ni beruntung tau, banyak rezeki awak datang sini”

Kata unni kepadaku.

Untung sebab.?

Alhamdulillah, dipermudahkan perjalanan dari segi penginapan.

Di Sakarya sahaja, 4 malam aku di sana, aku hanya bayar untuk 2 malam dan 2 malam ialah dapat menginap secara percuma..

Di Istanbul pula, kami dapat menginap free di rumah kawan Turki Saadia. Nama dia Medina.

Pengalaman berpeluang menginap dan tinggal bersama-sama keluarga Turki,
Amazing, awesome, daebak subhanallah.

“Nak tahu orang Turki macam mana, tinggal di rumah mereka”- Unni

Bagiku, rumah Medina terletak di pinggir daripada kawasan pelancongan yang popular seperti Hagia Sophia, Masjid Biru dan sebagainya.

Dan secara jujurnya, penempatan di kawasan rumah Medina seperti kawasan di kawasan perumahan teres sederhana. Medina mengingatkan kami supaya tidak terkejut melihat keadaan rumahnya.

Sesampai di rumahnya, kami disambut oleh ahli keluarga Medina.
Ibu, ayah, kakak ipar, dan abang sulung Medina. Kami sampai agak lewat sebenarnya, kami tertinggal bas jam 7 malam di coach Station, jadi terpaksa menunggu satu jam seterusnya.

Sesampai di rumah nya jam 10 malam, ibu Medina terus menyediakan makanan malam (agak berat), dan pelbagai jenis makanan lain.

Masalah di sini ialah, kami bertiga dah makan di Restoran Ughur Istanbul.

Rasa sangat tak elok tak dapat makan dinner yang disediakan, kami berborak-borak sampai lewat malam. Sah-sah aku tak faham langsung apa perbualan mereka, aku tersenyum saja.

Oh, pasal Medina.

Menarik.

Dia sangat suka bercakap English (this is rare for Turkish people), dia sangat sukakan foreigner, dan she is an ambitious young girl. Baru berumur awal 20-an, tetapi sangat matang.

Kami diberi bilik adik Medina, bilik yang cukup-cukup untuk kami ber-3. Kalau datang lebih, confirm tak cukup =)

Mereka hidup sangat sederhana..

Tapi, yang menarik.

Keadaan dalam rumah terutamanya tandas, bilik mandi dan dapur seperti hotel.

Sangat bersih dan kemas.

Malam ke-2 aku di sini, kami di bawa pula ke rumah keluarga Turki yang lain untuk berkenalan dan bersembang.

Menurut Medina, keluarga ini ialah kenalan rapat keluarga dia, jadi mak Medina mahu kenalkan kami kepada mereka.

Apa yang sempat aku screen mengenai orang Turki ialah mereka sangat-sangat friendly, di mana-mana sahaja. Senyuman, layanan kepada foreigners sangat tip-top.

Medina sendiri mengakui yang orang Turki terlebih mesra, sampai satu tahap dia sendiri malas nak layan.

Kami tinggal di sini 4 malam :) 

Banyak sangat yang aku belajar pasal orang Turki di rumah keluarga baru ini.

Sungguh, perbezaan adat dan budaya bukanlah sesuatu perkara yang senang. Mencabar tapi menyeronokkan. 







Tahtalake Istanbul
31 Januari 2016

Friday, January 29, 2016

Jejak al Fateh : Tangisan Rindu di Konstantinopel




Assalamualaikum wbt.

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, thumma Alhamdulillah perjalanan menuju ke Istanbul dari Sakarya berjalan lancar berkat doa-doa semua. =)

Kami sampai di Istanbul jam 11 tengahari, tepat 2 jam tempoh perjalanan. Selepas selesai letak luggage dan beg yang agak berat, kami meneruskan perjalanan ke Kota Istanbul, di tengah-tengah padatnya 14 juta penduduk di Istanbul.

Tetapi sebenarnya, aku agak terkejut.

Istanbul bukanlah seperti yang aku sangkakan.

Ibarat sebuah pekan kecil yang padat, itulah Istanbul.

Seperti kata unni, Kamal Ataturk memindahkan pusat pemerintahan daripada Istanbul kepada Ankara sebagai ibu Negara Turki, supaya masyarakat makin lupa akan agungnya sejarah Islam di Konstantinopel ini.

Berkatnya bumi Konstantinopel ini yang pernah menjadi perebutan dua empayar besar dunia, yakni Rom dan Islam dan penyaksian kepada penaklukan Konstantinopel oleh pemimpin Islam, menjadikan Ataturk takut rakyat Turki berpandangan Islam, menjadi Islamik menyebabkan beliau mengubah pusat pemerintahan Negara. Allahu

Disebabkan itulah, Istanbul kurang maju dari segi pemesatan pembangunan.

Tetapi, unni bagithu juga walaupun pelbagai usaha dilakukan Ataturk untuk menjauhkan Turki daripada nilai-nilai Islam, tapi dengan kuasa Allah Istanbul atau dikenali sebagai Konstantinopel inilah yang menjadi tumpuan pelancong, berkahnya bumi yang pernah menjadi jejakan seorang pemimpin daripada kalangan pemimpin yang terbaik. Berkahnya bumi al Fateh, terlalu padat dengan pelancong. Dan populasi di Istanbul melebihi populasi di Ankara. Subhanallah. Walaupun kurang maju, tetapi kuasa Allah terasa berkat dan tenang di sini.

Kami menuju ke tempat utama dan boleh dikatakan tempat idaman aku.

Tempat yang menjadi saksi dan tempat yang menjadikan aku mahu sangat melihat di depan mataku.

Tempat yang pada dahulunya ialah sebuah geraja terbesar, dan semasa Sultan Muhammad al Fateh menakluki Istanbul, perkara pertama yang beliau lakukan ialah menukar tempat tersebut kepada masjid.


Bagaikan mimpi menjadi kenyataan, aku bertanya berkali-kali kepada unni;

‘‘Betul ke ni?”

“Macam tak percaya..”

Unni senyum sahaja melihat keterujaanku.


Sebelum ke tempat tersebut, kami terlebih dahulu menunaikan solat Zohor dan Asar di Masjid Biru, Sultan Ahmet..

Subhanallah, alhamdulillah. Aku diberi kesempatan untuk mendengar laungan azan di dalam masjid biru, diberi kesempatan menunaikan solat.

Masyallah, syahdunya laungan azan di bumi ini.

Terasa lain…

Aku membayangkan 500 tahun dahulu, kesungguhan rakyat pada masa itu dan aku melihat “kemodenan” rakyat al Fateh pada zaman kini. Walaupun aku berada di sini hanyalah seminggu sahaja, mendengar cerita-cerita daripada ramai unni yang menetap di sini, mengenai rakyat Turki menyebabkan hati ini sedih.

Aku sangat percaya yang masyarakat dan bangsa aku mempunyai nilai Islamik yang lagi tinggi daripada rakyat Turki.

Andai al Fateh di depanku..

Jejak dan langkah pemimpin yang sebaik pemimpin.

Aku hanya membaca kisahnya, aku hanya menonton filem mengenainya, aku tidak pernah mengenal beliau.

Tetapi betapa ramai rakyat Turki yang mengagungkan Mustafa Kamal Atarturk lebih daripada mengagungkan Sultan Muhammad al Fateh.

Di Masjid ini, aku menangis kerinduan..



Masjid Biru Sultan Ahmet 
Konstantinopel 
29 Januari 2016


Nota : Entri  mengenai tempat "tersebut" kena peram lama sikit terlalu mahal :P